BismillahirRahmaanirRahiim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Firman ALLAH SWT : “Mereka menjawab : “Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (QS Al-Baqarah ayat : 32)
Sahabat-sahabat yang dikasihi ALLAH,
Ilmu tanpa hikmah menimbulkan kegoncangan dan hikmah tanpa ilmu bererti kebodohan. Dalam diri manusia terdapat dua unsur buruk iaitu kezaliman dan kebodohan.
Ibnu Taimiyah berkata : “Zaluman bererti memutuskan sesuatu secara tidak adl dan Jahulan bererti memutuskan sesuatu tanpa Ilmu”. Oleh sebab itu seorang hakim di samping alim, dia harus adil…dua sifat yang agung dan Indah.
Ilmu merupakan satu keperluan yang besar di dalam hidup. Orang yang duduk di majlis Ilmu lebih afdhal daripada orang yang melakukan solat sunnat atau membaca Al-Quran.
Orang yang bertanya tentang sesuatu permasalahan untuk diamalkan dan untuk menghilangkan kejahilan dirinya, maka itu lebih baik dari orang yang bersujud tujuh puluh kali.
Seorang muslim wajib bersemangat menuntut ilmu, menguatkan ilmu dan membaca serta menempuh pelbagai jalan untuk menggapai ilmu.
Seorang hakim (cendikiawan) berkata : “Allah telah membuat Syurga di dunia. Siapa yang memasuki Syurga itu pasti bahagia hidupnya”. Ketika ditanya : “Apakah itu?”. Jawabnya : “Majlis zikir (majlis pengajian”. Nabi SAW bersabda : “Suatu majlis yang soleh (baik) bagi seseorang mukmin dapat menebus dua juta majlis yang busuk (jelek)”.
Abud Darda’ berkata : Nabi SAW bersabda : “Siapa yang berjalan untuk menuntut ilmu, maka ALLAH akan memudahkan baginya jalan dari jalan-jalan Syurga dan Malaikat selalu menghamparkan sayapnya untuk menaungi orang yang menuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukan. Dan seorang alim itu dimintakan ampun oleh semua penduduk di langit (Para Malaikat) dan bumi dan ikan-ikan dalam air dan kelebihan seorang alim (berilmu) terhadap seorang ahli ibadat sebagaimana kelebihan bulan purnama terhadap lain-lain bintang. Dan ulama sebagai pewaris dari Nabi-Nabi. Dan Nabi tidak mewariskan harta pusaka Perak atau Emas tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang telah mendapatkannya bererti telah mendapat bahagian sebanyak-banyaknya”.
Subhanallah, sahabat….mari kita berusaha untuk meraih dan menambah ilmu tanpa jemu kerana ilmu adalah warisan dari Nabi, sedang harta adalah warisan dari Firaun. Ilmu dapat menjaga dirimu sedang manusia sibuk menjaga harta. Ilmu tidak diberikan oleh ALLAH kecuali kepada orang yang disayangi-Nya.
Ilmu jika diberikan kepada orang tidak berkurang, malahan bertambah bila disebarkan sedangkan harta bila diberikan akan berkurang. Hartawan bila mati hilang namanya. Sedangkan orang alim jika mati tetap hidup namanya. Hartawan jika mati akan ditanya dan dihisab dari mana dapatnya kekayaan dan ke mana dibelanjakan…sedangkan orang berilmu mendapat dengan setiap satu hadith satu darjat di dalam Syurga.
~ * SELAWAT DAN SALAM DARI ALLAH SENTIASA MELIMPAH RUAH KEPADA INSAN YANG MEMBAWA HIDAYAH. SEBARKAN ILMU DAN TOLONGLAH AGAMA ALLAH * ~
Wallahu’alam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar